Kesihatan Adalah Kunci Kejayaan Mahasiswa

Jumaat, 27 April 2012 17:43 Syafawati
Cetak PDF

Oleh Norafandi bin Muhamad Zazli, Pelajar Pelatih Industri UKM
Foto Shahiddan Saidi


BANGI, 27 April 2012 – Kunci kejayaan mahasiswa bergantung kepada bagaimana bijaknya mereka menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat, mengambil makanan yang seimbang, melakukan aktiviti fizikal serta tidur dengan cukup.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Haji Rashid Shirlin memberi nasihat ini semasa merasmikan Malam Anugerah Mahasiswa dan Amal Kolej Keris Mas 2011/2012 di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini akhir minggu lalu.

Datuk Rosnah berkata mahasiswa juga perlukan perhubungan komunikasi yang baik, persekitaran yang bersih serta mempunyai hubungan dengan Pencipta.

Beliau merujuk kepada hasil Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, (NHMS II) pada 2006 yang mendapati, 43.7% rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tidak menjalani cara hidup sihat, iaitu kira-kira 44 orang dari setiap 100 orang dewasa di Malaysia mengamalkan kehidupan tidak aktif.

Siswa siswi kini lebih cakna dengan isu-isu semasa yang diperolehi dari pelbagai jenis sumber. Cuma persoalannya, sejauh mana kesahihan berita dan maklumat yang mereka perolehi.

Datuk Rosnah mengakui anak muda sekarang inginkan ruang dan sokongan di mana suara mereka didengar serta peranan mereka diiktiraf.

Beliau turut menyampaikan beberapa anugerah kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan sukan selain menyampaikan sumbangan kepada Rumah Bakti Al Kausar, Bangi.

Anugerah Olahragawan 2012 dimenangi Mohd Sollehuddin bin Ismail manakala Halimatus Saadiah binti Baharuddin dinobatkan sebagai Olahragawati. Masing-masing menerima sebuah trofi dan wang tunai RM 300.00.

Anugerah Khas Pengetua telah disampaikan kepada Muhammad Adham bin Abdul Mubin kerana sumbangan terbaiknya kepada kolej.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Pengarah Pejabat Hubungan Alumni, Prof Dato’ Dr Laily bin Din dan Pengetua Kolej Keris Mas, Dr Roslin bin Amir hadir di acara itu.


Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 27 April 2012 17:56

Berita Kampus

Arkib Berita