UKM Tergolong Antara 50 Universiti Terbaik Dunia Berusia 50 Tahun Ke Bawah

Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi


KUALA LUMPUR, 31 Mei 2012- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah disenarai antara 50 universiti terbaik di dunia yang berusia di bawah 50 tahun.

UKM adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang diiktiraf dalam senarai ‘QS Top 50 Under 50’  itu. UKM menduduki tempat yang ke 31 antara 50 universiti terbaik itu.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin telah mengumumkan penyeneraian itu di sambutan 40 tahun penubuhan Fakulti Perubatan di sini semalam.

Selain itu UKM juga turut termasuk dalam senarai 100 universiti di bawah 50 tahun yang di keluarkan oleh Times di United Kingdom. UKM berada di tangga ke 98.

Beliau bagaimana pun mengingatkan bahawa “kejayaan tidak akan kekal selamanya sekiranya kita tidak berusaha mempertahan dan memperbaiki kedudukan kita.

“Kiranya kita tidak bersedia melipat gandakan usaha untuk mempertingkatkan daya saing, kita akan ketinggalan,” tambah beliau.

Prof Sharifah Hapsah telah menhorot kemajuan dan peranan yang dimainkan Fakulti Perubatan sejak UKM di anugerahkan status universiti penyelidikan.

Pusat Perubatan UKM yang di kendalikan Fakulti Perubatan telah menempa nama misalnya kejayaan Pusat Kejuruteraan Tisu mengkultur dan membuat kulit manusia.

Manakala dari segi perkhidmatan pula ia berjaya menyediakan rawatan memulihkan (stroke reversal) mereka yang diserang angin ahmar.

Dalam bidang pembedahan pula PPUKM berjaya melakukan pembedahan ‘minimally invasive’ dengan berjaya melakukan pembedahan ‘lubang kunci’ ke atas bayi berumur 14 hari untuk mengeluarkan 95 peratus dari pankreas bayi itu. Pembedahan (pancreatectomy) itu adalah pembedahan lubang kunci ke atas bayi yang termuda di dunia.

Sambutan 40th  tahun itu menyaksikan pelancaran Pusat informasi bersepadu pesakit. Dengan kemudahan itu pesakit kini boleh mencapai pangkalan data perubatan yang mesra pelanggan dan dalam bahasa yang mudah di fahami untuk mendapat maklumat mengenai penyakit dan cara rawatan dengan hanya menyentuh skrin LCD komputer yang disediakan.

Ia akan membantu orang ramai dan pesakit untuk lebih peka terhadap penyakit dan perubatan yang boleh diterima mereka sambil menunggu mendapatkan rawatan atau menemui doktor.

Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aisyah Rohani Tengku Mahmud telah hadir diupacara itu termasuk Timbalan-Timbalan Naib Canselor, dekan-dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan.

Berita Kampus

Arkib Berita