Program Bakti Siswa 4 UKM di Felda Trolak

Isnin, 03 Januari 2011 16:59
Cetak PDF

Oleh Abdul Razak Hussin

BANGI, 3 Jan. 2011 – Seramai 145 orang pelajar UKM dari dua buah kolejnya, Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) and Kolej Tun Dr Ismail  telah menjalani program  Bakti Siswa selama tiga hari berakhir semalam di Felda Trolak Timur, Sungkai Perak.

Program anjuran KTHO itu adalah yang keempat dianjurkannya tetapi yang pertama dilaksanakan di kawasan Felda Trolak Timur di mana pelajar-pelajar itu telah menjadi anak angkat kepada keluarga peneroka di situ.

Ia bertujuan mengeratkan hubungan pelajar dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang dilakukan termasuk forum, persembahan kesenian, turun ke ladang dan bergotong royong serta bimbingan pendidikan dan motivasi melibatkan semua golongan peneroka dan keluarga mereka. Mereka juga melakukan detik ambang Tahun Baru menyambut tahun 2011ini. 

Pengetua KTHO, Kapten Dr Azahan Awang menganggapnya sebagai suatu sejarah bagi UKM. Kira-kira 300 orang pelajar telah memohon untuk menyertai program Bakti Siswa ke-4 itu tetapi hanya separuh daripada mereka saja yang dapat ditampung.

Program bertemakan “Bakti dicurah, kasih tersimpul” buat kali pertamanya juga dilaksanakan hasil perbincangan penganjur dengan pengurusan FELDA Trolak Timur bagi memenuhi kehendak masyarakat di situ.

Pengurus Felda Trolak Timur , En Rosli Rejab berkata Bakti Siswa ke-4 itu telah menambah kematangan pengurusan dan penduduk dalam penganjuran bersama program itu. Sebelum itu beberapa universiti telah menjalankan program yang hampir sama.

Rosli mengingatkan mahasiswa agar sentiasa berfikir dan melaksanakan tanggungjawab memberi manfaat kepada masyarakat. Tuntutan ini hanya dapat dilaksanakan dengan mahasiswa melakukan proses penerokaan ilmu yang berterusan, katanya.

Beliau menerangkan bahawa FELDA mempunyai 61 buah anak syarikat yang memerlukan sumber tenaga manusia yang memiliki kemahiran dan kepakaran yang dapat diisi oleh lulusan universiti. 

Berita Kampus

Arkib Berita